Sunday, 1 November 2009

057 SURAH AL HADID




57. Al-Hadid



RENGKASAN SURAH:


a




















b





BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani



057. SURAH AL - HADID (Besi)

http://www.alquran-melayu.com/57-al-hadid/


Rengkasan:


1. Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah. Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

2. Dia lah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi. Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas setiap sesuatu.

3. Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir, dan Yang Zahir serta Yang Batin, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.

4. Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy. Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Ia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

5. Dia lah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

6. Dia lah yang memasukkan malam ke dalam siang, dan memasukkan siang ke malam silih berganti, dan Dia lah yang Maha Mengetahui akan segala isi hati yang terkandung di dalam dada.

7. Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah pada jalan kebajikan sebahagian dari harta benda pemberian Allah yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Orang beriman di antara kamu membelanjakan sebahagian dari harta itu pada jalan Allah, dan mereka tetap beroleh pahala yang besar.

8. Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah? Sedang Rasulullah mengajak kamu untuk beriman kepada Tuhan kamu, dan Allah telah mengambil janji setia dari kamu untuk beriman; jika kamu hendak beriman maka telah jelaslah dalil2nya.

9. Dia lah yang menurunkan kepada hambaNya (Nabi Muhammad) keterangan2 Al-Quran yang terang nyata, kerana Ia hendak mengeluarkan kamu dari gelap-gelita kekufuran kepada cahaya iman yang terang-benderang. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Belas, lagi Maha Mengasihani, terhadap kamu.

10. Mengapa kamu tidak membelanjakan harta benda kamu pada jalan Allah? Padahal Allah jualah yang mewarisi langit dan bumi serta segala isinya. Tidaklah sama di antara kamu, orang2 yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan setiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan balasan yang sebaiknya. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan.

11. Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik ikhlas supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan selain itu ia akan beroleh pahala yang besar!

12. Ingatlah ketika engkau melihat pada hari kiamat: orang2 yang beriman, cahaya iman dan amal soleh mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka: “Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, kamu akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar”.

13. Ingatlah semasa orang2 munafik, yang sedang meraba2 dalam gelap-gelita pada hari kiamat, berkata kepada orang beriman: “Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu”. Lalu dikatakan kepada mereka secara mengejek: “Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya di sana”, serta diadakanlah di antara mereka yang beriman dan yang munafik itu sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat Syurga dan nikmat, dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat neraka dan azab seksa.

14. Pada saat itu mereka yang munafik menyeru orang beriman sambil berkata: “Bukankah kami bercampur gaul dengan kamu di dunia dahulu?” Orang beriman menjawab: “Benar! Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu dengan perbuatan munafik dan kamu telah menunggu kebinasaan umat Islam dan kamu pula ragu terhadap perkara ugama serta kamu diperdayakan oleh angan2 kosong untuk mencapai maksud kamu, sehinggalah datangnya maut yang ditetapkan oleh Allah kepada kamu. Dan selain itu, kamu pula diperdayakan oleh bisikan Syaitan dengan pengampunan Allah semata2 dan melupakan azabNya.

15. “Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu, dan tidak juga dari orang2 kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu, dan itulah seburuk2 tempat kesudahan kamu!”

16. Belum sampaikah lagi masanya bagi orang2 yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran Al-Quran yang diturunkan kepada mereka? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang2 yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang2 itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang2 yang fasik - derhaka.

17. Ketahuilah kamu, bahawa Allah menghidupkan bumi sesudah matinya; sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan2 dan bukti, supaya kamu memahaminya.

18. Sesungguhnya orang2 yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik ikhlas akan digandakan balasannya dengan berganda2 banyaknya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.

19. Dan orang2 yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya, merekalah pada sisi hukum Tuhan mereka, orang2 yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjatnya seperti orang2 “Siddiqiin” dan orang2 yang mati Syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya orang2 Siddiqiin dan orang2 yang mati syahid itu; dan sebaliknya orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat2 keterangan Kami, merekalah ahli neraka.

20. Ketahuilah bahawa yang dikatakan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah bawaan hidup yang berupa semata2 permainan dan hiburan yang melalaikan serta perhiasan yang mengurang, juga bawaan hidup yang bertujuan bermegah2 di antara kamu dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan serta berlumba2 membanyakkan harta benda dan anak pinak.

21. Semuanya itu terhad waktunya; samalah seperti hujan yang menumbuhkan tanaman yang menghijau subur menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar ke suatu masa yang tertentu, selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan hendaklah diketahui lagi, bahawa di akhirat ada azab yang berat di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu dan ada pula keampunan besar serta keredaan dari Allah disediakan bagi orang2 yang mengutamakan akhirat. Dan ingatlah, bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang2 yang terpedaya.

22. Berlumba2 kamu mengerjakan amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang2 yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.

23. Tidak ada sesuatu kesusahan atau bala bencana yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab pengetahuan Kami sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

24. Kamu diberitahu tentang itu supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira secara sombong dan bangga dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan ingatlah, Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

25. Orang2 yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, akan mendapat balasan yang menghina dan sesiapa yang berpaling dari mematuhi hukum Allah maka padahnya tertimpa atas dirinya sendiri kerana sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

26. Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul2 Kami dengan membawa bukti2 dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama2mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah itu dalam kehidupan mereka sehari2 dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang menggunakan kekuatan handalnya itu untuk menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul2Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan kepadanya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

27. Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim, dan Kami jadikan pada keturunan keduanya orang2 yang berpangkat Nabi dan menerima Kitab2 ugama; maka sebahagian di antara mereka: orang yang beroleh hidayah petunjuk, dan kebanyakan mereka orang2 yang fasik – derhaka

28. Kemudian Kami iringi sesudah mereka: Rasul2 Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang2 yang mengikutnya perasaan belas kasihan esame sendiri. Dan perbuatan mereka beribadat secara “Rahbaniyyah” – merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; mereka berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang2 yang beriman kepada Nabi Muhammad di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan sebaliknya banyak di antara mereka yang fasik – derhaka.

29. Wahai orang2 yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya pada hari kiamat kelak serta diampunkannya dosa kamu; dan ingatlah, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

30. Ditetapkan pemberian yang demikian kepada kamu supaya golongan ahli Kitab Yahudi dan Nasrani – yang menentang Islam mengetahui, bahawa sesungguhnya mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendapat atau menyekat sesuatu dari limpah kurnia Allah, dan bahawa sesungguhnya limpah kurnia itu terletak dalam kekuasaan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan ingatlah, Allah jualah yang mempunyai limpah kurnia yang besar.


TAMAT Tags: Al-Hadid, Madinah http://www.alquran-melayu.com/57-al-hadid/

sini

No comments:

Post a Comment