058. SURAH AL-MUJADALAH
KLIK SINI UNTUK
BACA TERJEMAHAN
DAN DENGAR SURAHNYA:
http://www.alquran-melayu.com/58-al-mujadilah/
RENGKASAN SURAH:
a
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
058. SURAH AL - MUJADILAH
Rengkasan Surah
1. Allah mendengar dan memperkenan aduan perempuan kepada Nabi mengenai suaminya sambil ia berdoa merayu kepada Allah mengenai perkara yang menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
2. Orang yang “ziharkan” isterinya adalah bersalah kerana isteri mereka bukanlah ibu mereka. Ibu mereka hanyalah perempuan yang melahirkan mereka. Mereka yang memperkatakan demikian adalah mungkar dan dusta. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
3. Suami yang “ziharkan” isterinya itu menjadikan isterinya haram kepadanya. Hendaklah suami itu memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua bercampur. Hukum demikian adalah sebagai pengajaran supaya jangan mendekati perkara mungkar itu. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
4. Jika kamu tidak dapat memerdekakan hamba, maka hendaklah berpuasa dua bulan berturut2 sebelum mereka suami isteri, itu bercampur. Jika tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu bagi membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah.
5. Orang yang menentang perintah Allah dan RasulNya tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang2 terdahulu ditimpa kehinaan, kerana Kami telah pun menurunkan keterangan jelas nyata mengenainya. Orang2 yang kafir disediakan azab seksa yang menghina,
6. Semasa mereka semuanya dibangkitkan hidup semula di hari kiamat Allah akan terangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal2 mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan ingatlah, Allah menjadi Saksi akan setiap sesuatu.
7. Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada berlaku antara lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama mereka di mana sahaja mereka berada.
8. Orang2 Yahudi yang telah dilarang berbisik2. Mereka melakukan larangan tersebut serta mereka berbisik2 berkenaan melakukan dosa dan pencerobohan serta kederhakaan kepada Rasulullah. Apabila mereka datang kepadamu, mereka memberi salam hormat bukan dengan lafaz salam hormat yang diberikan Allah kepadamu. Sesama sendiri mereka berkata: “Kalau benar Muhammad utusan Tuhan, maka sepatutnya kami diseksa oleh Allah disebabkan kata2 buruk yang kami ucapkan padanya?” Cukuplah untuk mereka neraka Jahannam yang seburuk2 tempat kembalinya.
9. Apabila kamu berbisik sesama sendiri janganlah kamu berbisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah, Sebaliknya berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa. Hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan.
10. Perbuatan berbisik dengan kejahatan adalah hasutan Syaitan untuk menjadikan orang2 yang beriman berdukacita, sedangkan bisikan itu tidak dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah. Kepada Allah jualah hendaknya orang2 yang beriman berserah diri.
11. Apabila kamu diminta memberi lapang dari tempat duduk kamu untuk orang lain maka lapangkanlah seboleh2nya supaya Allah melapangkan segala halnya untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang2 yang beriman di antara kamu. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.
12. Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah kepada fakir miskin sebelum kamu mengadapnya. Pemberian sedekah itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak disedekahkan, kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang tak dapat dielak.
13. Adakah kamu takut akan kemiskinan kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap? Kalau kamu tidak melakukan perintah itu, dan Allah pun memaafkan kamu kerana kamu tidak mampu, maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat sebagaimana yang sewajibnya, serta taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan segala amalan yang kamu lakukan.
14. Tidakkah engkau melihat bagaimana jahatnya orang2 yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah dengan sebab kekufuran dan khianatnya? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu kerana mereka ialah golongan munafik; dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui bahawa mereka adalah berdusta.
15. Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.
16. Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh, maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang dirinya dan orang lain dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.
17. Harta benda mereka dan anak pinak mereka tidak sekali2 akan dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari azab Allah. Merekalah ahli neraka dan tetap kekal di dalamnya.
18. Setelah nyata kepada orang2 munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan semasa mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat, maka mereka bersumpah kepadaNya bahawa mereka adalah orang2 mukmin sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu. Mereka menyangka bahawa dengan berbuat demikian mereka akan mendapat sesuatu yang berfaedah kepada mereka. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.
19. Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati ajaran dan amaran Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang2 yang rugi.
20. Sesungguhnya orang2 yang menentang perintah Allah dan RasulNya, mereka termasuk dalam golongan yang amat hina.
21. Allah telah menetapkan: “Sesungguhnya Aku dan Rasul2Ku tetap mengalahkan golongan yang menentang“. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha kuasa.
22. Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang2 yang menentang perintah Allah dan RasulNya, sekalipun orang2 yang menentang itu ialah bapa2 mereka, atau anak2 mereka, atau saudara2 mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka yang setia itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya.
23. Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda serta bersyukur akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong2 ugama Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong2 ugama Allah itu ialah orang2 yang berjaya.
TAMAT
Tags: Al-Mujadilah, Madinah
B
C
No comments:
Post a Comment