Thursday, 29 October 2009

050 SURAH QAF


050. SURAH QAF













KLIK SINI UNTUK

BACA TERJEMAHAN
DAN DENGAR SURAHNYA:
http://www.alquran-melayu.com/50-qaf/





RENGKASAN SURAH:


























BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani



050. SURAH QAF

Rengkasan:


1. Qaaf. Demi Al-Quran yang melimpah kemuliaan dan kebaikannya. Bahawa sesungguhnya Muhammad adalah Rasul yang diutus memberi peringatan dan amaran.

2. Kaum musyrik Makkah bukan sahaja mengingkari kerasulannya bahkan mereka merasa hairan kerana datang kepada mereka dari kalangan mereka sendiri, seorang Rasul pemberi peringatan dan amaran mengenai perkara hidup semula sesudah mati. Lalu orang2 kafir itu berkata: “Ini adalah satu perkara yang menakjubkan! Adakah kita akan kembali hidup sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu adalah cara kembali yang jauh dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur tidak dapat diketahui lagi”.

3. Apa yang mereka katakan itu tidaklah benar, kerana Kami sedia mengetahui apa yang dimakan oleh bumi sedikit demi sedikit dari tubuh orang mati, serta ada di sisi Kami sebuah Kitab yang menyimpan catitan segala perkara yang berlaku.

4. Mereka tidak mahu berfikir betul bahkan mereka terburu2 mendustakan kebenaran apabila sahaja sampainya kepada mereka. Oleh sebab itu, mereka berada dalam keadaan yang serba kacau.

5. Kalaulah mereka menyangka Kami tidak berkuasa mengembalikan mereka hidup semula maka tidakkah mereka memandang ke langit yang tidak bertiang bagaimana Kami membinanya dengan rapi serta Kami menghiasinya dengan bintang2 dan dengan keadaan tidak ada padanya retak-renggang?

6. Dan juga keadaan bumi ini, bagaimana Kami bentangkan dia sebagai hamparan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur?

7. Kami adakan semuanya itu untuk menjadi perhatian dan peringatan, yang menunjukkan jalan kebenaran, kepada setiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya dengan taat dan berbakti.

8. Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air hujan yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok2 tanaman, buah2an dan biji2an yang dituai. Serta pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis2, lagi lebat putiknya.

9. Semuanya itu sebagai rezeki bagi hamba2 Kami. Dan lagi Kami telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati. Demikianlah pula keadaan keluarnya orang2 yang mati dari kubur setelah dibangkitkan hidup semula.

10. Sebelum mereka yang menentang Nabi Muhammad itu - kaum Nabi Nuh dan “Ashaabur-Rassi” serta Thamud kaum Nabi Soleh, telah juga mendustakan Rasul masing2. Dan juga Aad kaum Nabi Hud, dan Firaun serta kaum Nabi Lut. Dan juga penduduk “Aikah”, serta kaum ”Tubba’“; setiap satu kaum itu telah mendustakan Rasul yang diutus kepada mereka, lalu mereka ditimpa azab yang Aku janjikan.

11. Setelah mereka melihat dan memerhatikan makhluk2 yang Kami ciptakan itu, maka adakah Kami lemah dengan ciptaan yang pertama itu sehingga Kami tidak dapat mengadakannya semula? Tidak! Dan merekapun tidak mengingkari kekuasaan Kami. Bahkan mereka berada dalam keadaan keliru dan ragu2 tentang ciptaan makhluk2 hidup semula dalam bentuk yang baharu.

12. Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.
Dua malaikat mengawal dan menjaganya, dan mereka menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; satu duduk di sebelah kanan dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya atau perbuatan yang dilakukannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia menerima dan menulisnya.

13. Dan apabila sampai ajal seseorang datanglah “Sakaratulmuat” membawa kebenaran yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu: “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!”

14. Dan lagi apabila sampai saat yang ditentukan ditiuplah sangkakala untuk menghidupkan semula makhluk2 yang telah mati. Saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah diberikan.

15. Setelah itu datanglah setiap orang ke Padang Mahsyar, disertai dua malaikat: yang satu menjadi pembawa, dan yang satu lagi menjadi saksi. Serta dikatakan kepadanya: “Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang perkara hari ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam dapat menyaksikan dengan jelasnya perkaraa hari akhirat”.

16. Berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama2nya: “Inilah Kitab catitan iman dan amal orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia untuk dibicarakan”.

17. Setelah setiap orang dibicarakan. Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu: “Humbankanlah ke dalam neraka Jahannam setiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya. Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum ugama, lagi yang meragukan kebenaran. Yang menyembah benda yang lain bersama2 Allah. Maka humbankanlah akan dia ke dalam azab seksa yang seberat2nya”.

18. Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat. Pada saat itu, Syaitan yang sentiasa menyertainya di dunia dahulu berkata: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong”.

19. Allah berfirman: “Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan; padahal kamu sedia mengetahui bahawa Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu akan menyeksa orang2 yang bersalah. KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak sesekali berlaku zalim kepada hambaKu”.

20. Peringatkanlah manusia akan hari Kami bertanya kepada neraka Jahannam: “Adakah engkau sudah penuh? ” Ia menjawab: “Adakah lagi sebarang tambahan?”

21. Dan ingatkanlah pula hari didekatkan Syurga bagi orang2 yang bertaqwa. Serta dikatakan kepada mereka: “Inilah yang dijanjikan kepada kamu, - kepada setiap hamba yang sentiasa kembali kepada Allah dengan mengerjakan ibadat, lagi yang sangat memelihara dengan sebaik2nya segala hukum dan peraturan Allah. Iaitu orang yang takut melanggar perintah Allah Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang kepada Allah dengan hati yang tunduk taat”.

22. Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata: “Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari bermulanya kehidupan yang kekal”. Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka.

23. Dan berapa banyak kaum2 yang ingkar terdahulu daripada orang2 musyrik Makkah itu Kami binasakan. Kaum2 itu lebih kekuatannya dan kehandalannya daripada mereka, lalu kaum2 itu keluar mencari perlindungan di merata2 negeri. Meskipun demikian keadaannya dapatkah mereka menyelamatkan diri?

24. Sesungguhnya keterangan2 dan peristiwa2 yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sedar pada masa membacanya, atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh2 kepada pengajaran itu dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.

25. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya dalam enam masa, dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah.

26. Oleh itu bersabarlah wahai Muhammad, akan apa yang dikatakan oleh mereka yang menentangmu itu, dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu terutama sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam. Serta bertasbihlah kepadaNya pada malam hari dan sesudah mengerjakan sembahyang.

27. Dan dengarlah apa yang diterangkan kepadamu sekarang ini mengenai hari kiamat, hari malaikat yang menjadi penyeru, menyeru makhluk yang telah mati dari tempat yang dekat yang dapat didengar oleh semuanya. Iaitu hari mereka mendengar pekikan seruan yang menyatakan perkara yang benar. Hari seruan itu ialah hari masing2 keluar dari kubur.

28. Sesungguhnya Kami menghidupkan dan mematikan, dan kepada Kamilah sahaja tempat kembali sekalian makhluk.

29. Pada hari bumi terbelah untuk mereka segera keluar daripadanya. Perbuatan menghidupkan dan menghimpunkan mereka di Padang Mahsyar itu, mudah bagi Kami melaksanakannya.

30. Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad. Engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka supaya masing2 beriman. Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu.


TAMAT

Rujukan: http://www.alquran-melayu.com/50-qaf/

Akan datang . . . . . a

b

c

No comments:

Post a Comment