030. SURAH AR - RUM
KLIK INI UNTUK BACA TERJEMAHAN
DAN DENGAR SURAHNYA:
http://www.alquran-melayu.com/30-ar-rum/
RENGKASAN SURAH:
Ayat 1 - 24
Ayat 25 - 41
Ayat 42 - 60
Rengkasan
Alif, Laam, Miim.
Orang Rom telah dikalahkan dan mereka sesudah kekalahan itu akan mengalahkan lawannya dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya, sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya kemenangan Rom itu. Orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya. Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya. Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja dan tidak memikirkan supaya mereka dapat mengetahui, bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya. Juga untuk kembali menemui Penciptanya? Dan sebenarnya banyak di antara manusia adalah orang2 yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.
Tidakkah mereka telah berjalan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang terdahulu? Mereka itu lebih kuat dan telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh manisia sekarang. Dan mereka itu juga telah didatangi Rasul2 membawa keterangan yang jelas nyata, lalu mereka mendustakannya. Kesudahannya mereka dibinasakan.
Dengan yang demikian, maka Allah tidak sesekali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
Sesudah dibinasakan di dunia mereka yang melakukan kejahatan itu pula diazab di akhirat, disebabkan mereka mendustakan ayat keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.
Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya hidup semula pada hari kiamat, kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.
Dan semasa berlakunya hari kiamat, mereka yang berdosa akan membisu serta berputus asa.
Dan makhluk yang mereka jadikan sekutu Allah (Allah tak ada sekutu) itu tidak ada satupun dapat memberi syafaat melepaskan mereka dari azab Allah, padahal mereka berlaku kufur di dunia dahulu dengan sebab makhluk tersebut.
Dan setelah selesai perbicaraan mereka akan berpecah kepada dua kumpulan.
Kumpulan orang yang beriman dan beramal soleh akan ditempatkan di taman Syurga dalam keadaan bersuka ria.
Sebaliknya kumpulan yang kafir dan mendustakan ayat2 Kami (Al-Quran) serta mendustakan pertemuan hari akhirat, mereka akan tetap berada dalam azab seksa selama2nya.
Setelah kamu mengetahui hal yang demikian maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.
Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji dari sekalian makhlukNya di langit dan di bumi, dan juga bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia pada waktu petang dan semasa kamu berada tatkala waktu zuhur.
Allah mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup, serta Ia menghidupkan bumi sesudah matinya. Dan sedemikian itulah kamu yang akan dikeluarkan hidup semula dari kubur.
Di antara tanda yang membuktikan kekuasaanNya menghidupkan kamu semula ialah Ia menciptakan kamu dari tanah, setelah sempurna sahaja peringkat2 kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi. Lagi: Ia menciptakan untuk kamu (kaum lelaki), isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan dijadikanNya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.
Lagi: ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berpengetahuan.
Dan di antara tanda membuktikan kemurahan dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya pada kedua2 waktu itu. Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan bagi orang yang mahu mendengar nasihat pengajaran.
Dan di antara tanda membuktikan kebesaran dan kekuasaanNya, ialah Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan dari panahan petirnya dan memberi harapan turunnya hujan. Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan bagi orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.
Dan di antara tanda membuktikan keluasan ilmu dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi dalam keadaan yang menakjubkan itu dengan perintah dan penentuan takdirNya. Akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu seruan supaya kamu bangkit untuk hidup semula dari bumi, kamu dengan serta merta keluar dari kubur masing2.
Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing2 tetap tunduk kepada hukum peraturanNya.
Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya hidup semula sesudah mereka mati. Perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu: Relakah kamu menerima hamba abdi yang kamu miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan kepada kamu. Supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi sama berhak padanya, sehingga kamu tidak berani menguruskan harta benda itu tanpa persetujuan mereka.
Relakah kamu?
Demikianlah Kami menjelaskan keterangan satu persatu bagi orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.
Orang yang zalim itu tidak berfikir, bahkan menurut hawa nafsu mereka melakukan syirik tanpa pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah disebabkan bawaan sendirinya itu. Dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.
Setelah jelas kesesatan syirik itu maka hadapkanlah dirimu engkau dan pengikutmu, wahai Muhammad ke arah ugama yang jauh dari kesesatan. Turutlah terus ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia dengan keadaan bersedia dari semulajadinya untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu. Itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Hendaklah kamu Muhammad dan pengikutmu sentiasa rujuk kembali kepada Allah dengan mengerjakan amal bakti serta bertaqwalah kamu kepadaNya, Dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna dan janganlah kamu menjadi dari mana2 golongan orang musyrik, iaitu orang yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing2 serta mereka pula berpuak2; setiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya dari fahaman dan amalan yang terpesong itu.
Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba2 sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;
Dengan sebab itu, mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepadanya. Maka dikatakan kepada mereka: “Bersenanglah kamu buat sementara, kemudian kamu akan mengetahui balasan kederhakaan kamu”.
Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka yang musyrik itu sebarang bukti keterangan, lalu Ia menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?
Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya sehingga lupa daratan; dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba2 mereka berputus asa.
Mengapa mereka bersikap demikian? Dan mengapa mereka tidak melihat dengan hati mereka bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya sebagai cubaan sama ada orang itu bersyukur atau tidak. Dan Ia juga yang menyempitkannya sebagai satu ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak. Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang yang beriman.
Maka bagi menyatakan sikap syukur, berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing2. Pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang yang berjaya.
Dan ketahuilah bahawa sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, bertujuan untuk bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali2 akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Hanya pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah, maka mereka yang melakukannya itulah orang yang beroleh pahala berganda2.
Allah jualah yang mencipta kamu, kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu, sesudah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu dapat berbuat saperti tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya.
Timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang merekalakukan, supaya mereka insaf dan bertaubat.
Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang2 yang telah lalu yang telah dibinasakan, kebanyakan mereka adalah orang2 musyrik”.
Jika demikian keadaannya maka hadapkanlah dirimu ke arah ugama yang betul sebelum datangnya hari yang tak dapat ditolak, Pada hari itu manusia akan berpecah kepada dua golongan.
Sesiapa yang kufur ingkar dia lah yang menanggung bencana kekufurannya sendiri. Dan sesiapa yang beramal soleh, maka merekalah orang yang telah membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka sendiri.
Kerana Allah akan membalas orang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang yang kufur ingkar.
Dan di antara tanda membuktikan kekuasaanNya, ialah Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan dan untuk kamu merasakan sedikit dari rahmatNya. Dan supaya kapal2 belayar laju dengan perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya supaya kamu bersyukur.
Kami telah mengutuskan sebelummu Rasul kepada kaum masing2. Mereka membawa kepada kaumnya keterangan yang jelas nyata. Kemudian Kami menyeksa orang yang mengingkarinya. Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman.
Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah2nya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hambanya, mereka serta merta bergembira;
Dan sesungguhnya mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan kepada mereka, adalah orang yang telah berputus asa.
Maka lihatlah olehmu kepada kesan rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya dengan tanaman yang menghijau subur. Sesungguhnya Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang yang telah mati. Dan ingatlah Ia maha Kuasa atas setiap sesuatu.
Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin menyerang tanaman lalu mereka melihat tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali kufur tidak mengenangkan nikmat Allah serta berputus asa.
Maka janganlah engkau berdukacita terhadap keadaan mereka yang demikian, kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang yang mati hatinya itu menerima ajaranmu. Dan tidak dapat menjadikan orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur disebabkan keingkarannya.
Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang buta matahatinya supaya menjauhi kesesatan mereka. Engkau juga tidak dapat memperdengarkan seruanmu itu melainkan kepada orang yang sedia beriman akan ayat keterangan Kami, kerana mereka orang yang menurut perintah.
Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah semula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal di dalam kubur melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar.
Dan bagi menjawabnya berkatalah orang yang berilmu serta beriman: “Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal menurut yang terkandung dalam Kitab Allah, sampai ke hari kebangkitan hari kiamat; maka inilah dia hari kebangkitan yang dijanjikan itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui kebenarannya”.
Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri dan mereka pula tidak diberi peluang untuk memohon keredaan Allah.
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai kisah dan perbandingan di dalam Al-Quran ini; dan demi sesungguhnya jika engkau membawa kepada mereka sebarang keterangan, sudah tentu orang kafir itu akan berkata: “Kamu ini tidak lain hanyalah orang yang membuat dakwaan palsu”.
Demikianlah Allah meteraikan hati orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui kebenaran.
Oleh itu, bersabarlah, sesungguhnya janji Allah itu benar dan janganlah orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.
TAMAT.
Alhamdulillah. 2KD
Ada
No comments:
Post a Comment