031. SURAH LUQMAN
KLIK SINI UNTUK BACA TERJEMAHAN
DAN DENGAR SURAHNYA:
http://www.alquran-melayu.com/31-luqman/
TERJEMAHAN SURAH:
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
031. SURAH LUQMAN
RENGKASAN
Alif, Laam, Miim.
Ini ialah ayat2 Kitab Al-Quran yang mengandungi hikmat2 dan kebenaran yang tetap kukuh. Ia menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang yang sedia mengerjakan amal yang baik.
Iaitu orang yang mendirikan sembahyang, yang memberi zakat serta mereka yang yakin tentang adanya hari akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang yang berjaya.
Apabila dibacakan kepadanya ayat2 Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seolah ada penyumbat pada kedua telinganya. Maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.
Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat. Kekal mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah, janji yang tetap benar. Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah menciptakan langit dengan tidak bertiang dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetap supaya bumi itu tidak menghayunkan kamu dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.
Ini semuanya adalah ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk selain daripadaNya (makluk yang kamu sembah)? Tidak ada sesuatu pun. Orang yang zalim dengan perbuatan syiriknya itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, serta Kami perintahkan kepadanya: Bersyukurlah kepada Allah akan segala nikmatNya kepadamu. Sesiapa yang bersyukur maka faedahnya hanyalah akan kembali kepada dirinya sendiri. Sesiapa yang tidak bersyukur maka tidaklah menjadi hal kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Ddengan yang demikian bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu. Ingatlah, kepada Akulah jua tempat kembali kamu untuk menerima balasan.
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu, tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu dengan tauhid dan amal-amal yang soleh. Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya. Maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
Luqman menasihati anaknya dengan berkata: “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara yang baik atau yang buruk sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah untuk dihakimi dan dibalasNya, kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi”.
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar. Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”.
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu semasa berkata2. Sesungguhnya seburuk2 suara ialah suara keldai”.
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada manusia yang membantah mengenai sifat-sifat Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana2 Kitab Allah yang menerangi kebenaran.
Dan apabila dikatakan kepada mereka yang ingkar: “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab:” Tidak, bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah mereka menurut datuk neneknya sekalipun Syaitan mengajak mereka itu melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?
Dan sesiapa yang berserah diri bulat2 kepada Allah dengan ikhlas sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali ugama yang teguh. Ingatlah kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.
Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau wahai Muhammad berdukacita tentang kekufurannya itu. Kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala isi hati yang terkandung di dalam dada.
Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan sementara di dunia, kemudian Kami akan memaksa mereka dengan menyeretnya ke dalam azab yang amat berat.
Dan sesungguhnya jika engkau bertanya kepada mereka yang musyrik itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah: “Alhamdulillah” sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian dan tidak mengingkari Allah, bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat tauhid dan pengertian syirik.
Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Allah Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan menjadi tinta, dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Bagi Allah Yang Maha Kuasa soal menciptakan kamu semua dari tiada kepada ada, dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa sukarnya, hanyalah seperti mencipta dan menghidupkan semula seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam silih berganti, dan Ia memudahkan matahari dan bulan untuk faedah makhlukNya? Setiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Bersifatnya Allah dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana Allah lah sahaja Tuhan Yang Sebenarnya dan bahawa segala yang mereka sembah selain Allah adalah palsu belaka. Dan ingatlah, sesungguhnya Allah lah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya.
Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal belayar di laut dengan nikmat Kurnia Allah untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan dan bukti untuk berfikir bagi setiap mukmin yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.
Orang yang tidak bersifat demikian apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata2. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya. Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti kemurahan Kami melainkan orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.
Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu dan takutilah akan hari akhirat yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing2 sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenarnya tentang apa yang ada dalam rahim ibu yang mengandung. Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok sama ada baik atau jahat. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.
2KD
No comments:
Post a Comment