043. SURAH AZ-ZUKHRUF
KLIK SINI UNTUK
BACA TERJEMAHAN
DAN DENGAR SURAHNYA:
http://www.alquran-melayu.com/43-az-zukhruf/
RENGKASAN PENDEK/TAJUK:
ALLAH, AL QURAN DAN NABI
GULUNGAN TAAT/KUFUR & PANDUAN
RENGKASAN SURAH:
RENGKASAN AYAT MENGIKUT TAJUKNYA:
A. ALLAH DAN KUASA:
1. Jika kamu bertanya kepada mereka yang musyrik itu:” Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.
2. Dia lah Tuhan yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan dan Ia telah mengadakan bagi kamu di bumi jalan lalu-lalang supaya kamu mendapat petunjuk ke arah yang dituju.
3. Dia lah yang menurunkan hujan menurut sukatan tertentu, lalu dihidupkan negeri yang kering tandus tanahnya. Sedemikian pula kamu dikeluarkan hidup semula dari kubur.
4. Dia lah yang menciptakan berbagai jenisnya makluk dan mengadakan bagi kamu kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya. Supaya kamu duduk tetap di atasnya untuk kamu mengingati nikmat Tuhan, serta kamu bersyukur dengan mengucapkan: ”Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan lah, kami akan kembali!”
5. Kebanyakan mereka tidak kembali kepada tauhid dan Aku pula tidak segerakan azab mereka bahkan Aku memberikan mereka dan datuk nenek mereka menikmati kesenangan hidup sehingga datanglah kepada mereka kebenaran Al-Quran dan seorang Rasul yang menerangkan tauhid.
6. Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, tuhan yang mempunyai Arasy yang melambangkan kebesarannya, Maha Sucilah Ia dari apa yang mereka katakan itu.
7. Dan ingatlah, Allah jualah Tuhan yang berhak disembah di langit dan di bumi. Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
8. Dan Maha Tinggilah Kebesaran Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Dia lah jua yang mengetahui tentang masa datangnya hari kiamat. Kepadanyalah kamu semua akan dikembalikan.
9. Segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu.
B. AL QURAN:
10. Demi Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. Sesungguhnya Kami jadikan Kitab Al Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab supaya kamu menggunakan akal memahaminya. Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami sangat tinggi kemuliaannya, lagi amat banyak mengandungi hikmat2 dan kebenaran yang tetap kukuh.
11. Ketika kebenaran Al-Quran itu disampaikan kepada mereka, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini adalah sihir, dan sesungguhnya kami tetap mengingkarinya”.
12. Dan kerana mereka mencemuh Nabi Muhammad mereka berkata: “Kalaulah Al-Quran ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka sepatutnya Al-Quran ini diturunkan kepada seorang besar yang kaya dan berpengaruh dari salah sebuah dua bandar yang terkenal itu?”
C. NABI:
13. Ingatlah banyaknya nabi yang kami utuskan kepada umat terdahulu. Tidak ada seseorang Nabi pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejeknya. Lalu Kami binasakan orang yang lebih kekuatannya dan lebih kejam serangannya daripada mereka. Ini telahpun disebutkan berulang2 di dalam Al-Quran tentang kisah dan misal perbandingan mengenai umat2 yang telah lalu.
14. Dan demikianlah halnya orang2 yang taqlid buta. Kami tidak mengutus sebelummu kepada penduduk sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang2 yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”.
15. Rasul itu berkata: “Adakah kamu akan menurut juga mereka walaupun aku membawa kepada kamu ugama yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan ugama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”.
16. Lalu kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat2 yang mendustakan Rasul mereka.
17. Ingatkanlah peristiwa ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah. Yang lain dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Ia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku”.
18. Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali kepada tauhid itu, jika ada yang menyeleweng kepada syirik.
19. Bertanyalah kepada umat mana2 Rasul yang Kami utuskan sebelummu sama ada pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah selain dari Allah Yang Maha Pemurah.
20. Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa mukjizat Kami kepada Firaun dan kaumnya, lalu ia berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam”.
21. Maka apabila ia datang kepada mereka dengan membawa tanda2 kekuasaan Kami, mereka dengan mencemuh dan menggelakkan apa yang dibawanya itu. Kami timpakan mereka dengan berbagai azab bala bencana, supaya mereka kembali bertaubat.
22. Apabila bala bencana itu menimpa mereka, mereka merayu kepada Nabi Musa pohonkanlah kepada Tuhan untuk selamatan mereka dengan kemuliaan pangkat Nabi yang diberikan kepada Musa dengan janji akan patuh beriman”.
23. Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, mereka terus mencabuli janjinya.
24. Dan Firaun pula menyeru katanya: “Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya dan sungai2 ini mengalir di bawah istana ku? Tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, yang hampir2 tidak dapat menjelaskan perkataannya?
25. “Kalaulah betul ia seorang Rasul sepatutnya ia dipakaikan oleh Tuhannya gelang2 emas yang menandakan ia seorang pemimpin atau datang malaikat bersamanya sebagai saksi tentang kebenarannya?”
26. Dengan yang demikian, maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik derhaka. Kerana perbuatan derhaka itu, Kami menyeksa mereka dan menenggelamkan mereka semuanya di laut sehingga binasa.
27. Maka kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang2 yang datang kemudian.
28. Ketika nabi Isa anak Maryam dikemukakan sebagai satu misal perbandingan, untuk membantahmu wahai Muhammad, tiba2 kaummu bersorak kesukaan terhadapnya kerana menyangka bahawa mereka telah menang. Dan mereka berkata lagi: “Manakah yang lebih baik, benda2 yang kami sembah atau Isa?” Sebenarnya mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kerana mencari kebenaran tetapi semata2 untuk mengemukakan bantahan.
29. Nabi Isa itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang telah Kami kurniakan nikmat pangkat Nabi, dan Kami jadikan dia satu contoh kekuasaan kami yang menakjubkan bagi kaum Bani Israil.
30. Dan kalaulah kami kehendaki, kami berkuasa melahirkan daripada kamu malaikat mengganti kamu menjalankan urusan di muka bumi.
31. Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu2 tentang hari kiamat itu, dan turutlah petunjukKu; inilah jalan yang lurus.
32. Ketika Nabi Isa datang kepada kaumnya membawa keterangan yang nyata, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat ajaran Tuhan, dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari perkara ugama yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku. Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus”.
33. Kemudian, golongan2 dari kaumnya itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang2 yang zalim itu, dari paluan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.
D. GULUNGAN YANG TAAT:
34. Mereka yang bertaqwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya: “Wahai hamba2ku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dari sesuatu yang tidak baik; dan kamu pula tidak akan berdukacita”.
35. Mereka itu ialah orang yang beriman akan ayat2 keterangan Kami, serta mereka menjadi orang Islam yang taat patuh. Mereka diberi sebaik2 balasan dengan dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama isteri2 kamu yang beriman dengan menikmati sepenuh kegembiraan dan kesenangan”.
36. Diedarkan kepada mereka pinggan2 besar dan piala2 dari emas dan di dalam Syurga itu. Disediakan juga segala yang diingini oleh nafsu dan dikatakan kepada mereka: “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.
37. Dan dikatakan lagi kepada mereka: “Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan. Kamu beroleh di dalamnya berbagai jenis buah2an untuk kamu makan daripadanya”.
E. GULUNGAN YANG KUFUR:
38. Katakanlah kepada mereka yang musyrik itu: “Kalau betul Allah yang maha pemurah, mempunyai anak sebagaimana yang kamu dakwakan maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu; tetapi dakwaan kamu itu tidak berasas!”
39. Mereka yang musyrik mempersekutukan Allah dengan menjadikan sebahagian dari hamba2 Allah sebagai anakNya. Sesungguhnya manusia yang demikian sesatnya sangat tidak mengenang budi, lagi nyata kufurnya. Patutkah tuhan mengambil dari makhluk2 yang diciptakanNya menjadi anak2 perempuannya dan Ia mengutamakan dengan anak2 lelaki?
40. Apabila diberitahu kepada salah seorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan muramlah mukanya sepanjang hari kerana menanggung dukacita sambil menahan perasaan marahnya dalam hati.
41. Dan mereka pula menyifatkan malaikat jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata2 mereka yang dusta itu dan mereka akan ditanya kelak serta akan menerima balasannya.
42. Dan mereka berkata: “Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki tentulah kami tidak menyembah malaikat itu”. Sebenarnya mereka hanyalah berdusta!
43. Pernahkah Kami memberikan mereka sebelum Al-quran ini sebuah Kitab yang membenarkan dakwaan mereka dan mereka berpegang teguh kepada kitab itu? Tidak ada sebarang bukti bagi mereka bahkan mereka hanyalah berkata: “Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.
44. Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan? Adakah mereka berkuasa membahagi perkara keruhanian dan keugamaan yang menjadi sebesar2 rahmat Tuhanmu, seolah2 Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan: Kami membahagi2 antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini: setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita dan juga Kami jadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; semuanya itu supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari bantuan setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.
45. Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu dalam kekufuran, nescaya Kami jadikan bagi orang2 yang kufur ingkar itu, bumbung rumah mereka dari perak dan tangganya juga dari perak. Dan pintu rumah mereka dari perak dan kerusi2 panjang yang mereka berbaring di atasnya dari perak juga. Serta berbagai barang perhiasan keemasan.
46. Dan ingatlah, segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia. Sebaliknya kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang2 yang bertaqwa.
47. Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran Al-Quran yang diturunkan oleh Allah Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan yang menghasut dan menyesatkannya, lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya Syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang2 yang mendapat hidayah petunjuk.
48. Sehingga apabila ia yang terjerumus dalam kesesatan itu datang kepada Kami pada hari kiamat, berkatalah ia kepada Syaitannya: “Alangkah baiknya kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana engkau adalah sejahat2 teman”.
49. Lalu dikatakan kepada mereka: “Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, maka apa yang kamu cita2kan itu tidak sekali2 akan memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman2 kamu itu tetap menderita bersama di dalam azab”.
50. Mereka yang menentang Nabi Muhammad tidak ada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, dan dalam keadaan mereka lalai leka dengan perkara keduniaan.
51. Pada hari itu setengah sahabat akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya adalah berdasarkan taqwa iman dan amal soleh.
52. “Sesungguhnya orang2 yang berdosa dengan kekufurannya kekal selama2nya di dalam azab seksa neraka Jahannam. Tidak diringankan azab itu daripada mereka dan mereka tinggal menderitainya dengan berputus asa daripada mendapat sebarang pertolongan,
53. Dan tidaklah kami menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Dan mereka menyeru ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata: “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami kerana kami tidak tahan menderita!” Malik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”
54. Bagi menyatakan sebabnya mereka dibiarkan di dalam azab, Allah Taala berfirman: “Demi sesungguhnya! Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu melalui Rasul Kami, akan tetapi kebanyakan kamu telah menentangnya, kerana kamu tidak suka kepada kebenaran itu”.
55. Bahkan mereka yang kafir itu telah mengambil keputusan menjalankan satu rancangan hendak membunuh Rasul Kami, maka Kami juga mengambil keputusan menggagalkan rancangan mereka.
56. Patutkah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan di dalam hati dan apa yang mereka perkatakan dengan berbisik sesama sendiri? Bukan sebagaimana yang mereka sangka bahkan utusan2 Kami malaikat yang menjaga mereka, ada menulis segala yang mereka lakukan.
57. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. Jika demikian maka bagaimana mereka rela dipesongkan dari menyembah dan mengesakanNya?
F. PANDUAN:
58. Dan janganlah Syaitan menghalang kamu daripada menurut jalan yang benar; sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.
59. Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Quran daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau buruk keadaannya? Tidak! Kami tidak akan biarkan, bahkan Kami tetap mengingatkan kamu, sama ada kamu mahu menerimanya atau sebaliknya.
60. Maka mengapa engkau berdukacita wahai Muhammad, adakah engkau berkuasa menjadikan orang2 yang pekak mendengar, atau menunjuk jalan kepada orang2 yang buta mata hatinya dan juga orang2 yang berada dalam kesesatan yang nyata?
61. Oleh itu bertenanglah engkau, kerana kalaulah Kami wafatkan engkau sebelum Kami perlihatkan kepadamu azab yang akan menimpa mereka maka sesungguhnya Kami tetap menyeksakan mereka.
62. Atau sekiranya Kami hendak memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka dari azab seksa itu, maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.
63. Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.
64. Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan.
65. Oleh itu, biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain dalam dunia mereka, sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka untuk menerima balasan.
66. Dan Dia lah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi Muhammad yang berkata: Wahai TuhanKu! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman maka terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya!”
67. Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman: “Jika demikian, maka janganlah engkau wahai Muhammad hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggalah! ‘ Kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat keingkarannya!”
TAMAT
AA
No comments:
Post a Comment