032. SURAH AS-SAJDAH
BACA TERJEMAHAN
DAN DENGAR SURAHNYA:
http://www.alquran-melayu.com/32-as-sajdah/
TERJEMAHAN SURAH:
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
32. As-Sajdah
1. Alif, Laam Miim.
2. Tidak ada sebarang syak lagi Al Quran adalah dari Tuhan, Pemelihara dan Pentadbir sekalian alam.
3. Orang kafir tidak mengakui hakikat demikian bahkan mereka mengatakan bahawa Muhammad lah yang mengada2kan Al-Quran menurut rekaannya. Dakwaan mereka tidaklah benar. Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu, supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaummu yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran. Semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.
4. Allah lah yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy. Kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dariNya. Oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar untuk mencapai keredaanNya?
5. Allah mentadbirkan makhluk2Nya. Bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan dari langit ke bumi. Kemudian diangkat naik untuk pengetahuanNya segala yang berlaku oleh perlaksanaan tadbirNya untuk dihakimiNya.
6. Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani;
7. Yang menciptakan setiap sesuatu dengan sebaiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah.
8. Dan mereka yang kafir berkata: “Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah demikian?” Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.
9. Katakanlah; “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu untuk menerima balasan”.
10. Dan sungguh ngeri sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelasnya akan segala yang kami ingkari dahulu. Maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal yang baik. Sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
11. Dan bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman: “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada setiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing2, nescaya Kami berikan kepada setiap seorang akan hidayah petunjuknya sebelum mereka meninggal dunia. Supaya mereka tidak diazab di akhirat. Tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu. Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh”.
12. Lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sekarang, Kami pula tidak hiraukan keselamatan kamu lagi. Dengan demikian rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah telah kerjakan”.
13. Sesungguhnya yang sebenar2 beriman kepada ayat2 keterangan Kami hanyalah orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat2 itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud menandakan taat patuh, dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka. Mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
14. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, sedikit sangat tidurnya, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amalan soleh. Mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut akan kemurkaanNya serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi keredaanNya. Dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
15. Tidak ada seseorang pun yang mengetahui secara perinci persediaan yang dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat yang amat indah dipandang dan mengembirakan) sebagai balasan bagi amal soleh yang mereka telah kerjakan.
16. Jika demikian halnya, maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama dalam menerima balasan masing2.
17. Orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan. Sebaliknya orang yang fasik tempat kediaman mereka ialah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya serta dikatakan kepada mereka: “Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu”.
18. Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar di akhirat supaya mereka rujuk kembali dan bertaubat.
19. Tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat2 Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya dan tetap mengingkarinya. Akan tetapi awas, Kami tetap membalas.
20. Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu, wahai Muhammad. Maka janganlah engkau ragu2 menyambut dan menerimanya. Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.
21. Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin yang membimbing kaum masing2 kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar dalam menjalankan tugas itu serta mereka tetap yakin akan ayat2 keterangan Kami.
22. Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
23. Belumkah lagi ternyata kepada mereka yang kafir itu: bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum2 yang kufur ingkar yang terdahulu, padahal mereka berulang-alik melalui tempat tinggal kaum2 itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum2 itu mengandungi keterangan untuk menjadi iktibar; oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar dan insaf?
24. Dan tidakkah mereka yang tidak mahu taat dan bersyukur itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati semuanya itu supaya taat dan bersyukur?
25. Dan mereka bertanya: “Bilakah datangnya hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang yang benar?”
26. Katakanlah: “Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa pada hari pembukaan bicara itu tidak ada gunanya lagi kepada orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh berbuat demikian”.
27. Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka dan tunggulah kesudahan mereka. Sesungguhnya mereka pun menunggu kesudahanmu.
TAMAT
saya mohon muat turun image surah itu.
ReplyDeleteMohon download surah...
ReplyDelete