Saturday 20 March 2010

54. Al-Qamar

54. Al-Qamar



Kandungan Surah:


Saat kedatangan hari kiamat telah hampir.

Kaum musyrik Mekah bila melihat sesuatu mukjizat akan berpaling dan menyatakan ianya ialah sihir. Mereka telah mendustakan Nabi Muhammad dan mukjizat yang dibawanya. Janganlah dihiraukan mereka. Hanya di akhirat nanti mereka akan mula berkata: “Hari ini ialah hari yang amat sukar!”

Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul mereka dan menuduhnya orang gila, diancam dan dihalang menjalankan dakwah agamanya. Allah bukakan pintu-pintu langit menurunkan hujan dan memancarkan mata air di bumi mengakibatkan banjir besar. Nabi Nuh dan pengikutnya diselamatkan di dalam bahtera.

Demikian juga kaum Aad yang mendustakan Rasulnya lalu dibinasakan dengan angin ribut kencang yang berlanjutan, menumbangkan manusia gugur bergelimpangan.

Demikian juga kaum Thamud telah mendustakan peringatan dan amaran rasul mereka, Nabi Soleh. Mereka menyatakannya gila dan sesat, dan tak layak menjadi nabi. Apabila mereka merasa bosan berkongsi air dengan unta mukjizat Nabi Soleh mereka membunuh unta tersebut. Akibatnya, Allah hantarkan kepada mereka satu pekikan yang dahsyat, menjadilah mereka hancur seperti ranting dan daun yang pecah berkecai.

Demikian juga kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran rasulnya. Allah membinasakan mereka dengan angin ribut batu. Hanya Nabi Lut dan pengikutnya yang selamat apabila mereka disuruh keluar dari situ pada waktu malamnya.

Firaun dan kaumnya juga didatangi rasul pemberi amaran. Mereka telah mendustakan mukjizat Allah dan ditimpakan azab seksa kepada mereka sebagai seksaan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.

Adakah kamu, orang kafir kaum musyrik Mekah, lebih baik kekuatan, kekayaan dan kehandalannya daripada kaum kafir yang tersebut itu? Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti dalam Kitab Suci tentang kebebasan kamu dari azab?

Orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat di dunia, dan di akhirat pula mereka berada dalam api Neraka. “Rasalah bakaran api Neraka itu”.

Setiap perkara, kecil atau besar, yang manusia lakukan adalah tertulis di dalam Kitab suratan amal.

Orang yang bertakwa dijanjikan tempat dalam taman-taman Syurga yang indah berdekatan beberapa sungai. Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segalanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.

Allah telah mudahkan Al-Quran sebagai peringatan dan pengajaran, maka ambillah peringatan dan pelajaran daripadanya?


53. An-Najm

53. An-Najm



Kandungan Surah:

1. Demi bintang semasa ia menjunam, Muhammad tidak menyeleweng dari jalan yang benar dan ia tidak sesat. Ia tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri melainkan ianya adalah dari apa yang diwahyukan kepadanya melalui malaikat jibril.

2. Setelah kamu mendengar keterangan tentang kekuasaan dan keagungan Allah darinya, adakah kamu nampak bahawa “Al-Laat”, “Al-Uzza” serta “Manaat” yang bertaraf hina itu layak disembah dan dianggap sebagai anak perempuan Allah? Benda yang kamu sembah itu hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu berikan padanya.

3. Adakah manusia akan dapat mencapai segala yang dicitakannya? Tidak mungkin! Kerana Allah jualah yang menguasai segala urusan akhirat dan urusan dunia.

4. Golongan musyrik mengharapkan pertolongan benda yang mereka sembah itu padahal malaikat yang banyak di langit pun tidak dapat memberi syafaat mereka kecuali sesudah Allah mengizinkannya.

5. Hanya manusia yang tidak beriman kepada hari akhirat sahajalah yang tergamak menamakan malaikat itu dengan nama perempuan. Mereka hanyalah mengikut sangkaan mereka semata-mata.

6. Oleh itu, janganlah hiraukan mereka yang berpaling dari pengajaran Kami dan yang hanya mahukan kehidupan dunia semata-mata.

7. Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi dan Dialah yang mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang taat. Ia akan membalas orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan dan membalas orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaiknya.

8. Adakah mereka diberitahu tentang apa yang terkandung dalam Kitab Nabi Musa dan Nabi Ibrahim? Kitab mereka menegaskan bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain bahkan dosa usahanya sahaja. Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepadanya pada hari kiamat kelak untuk dibalas dengan balasan yang amat sempurna.

9. Allah lah yang mematikan dan menghidupkan, yang menciptakan lelaki dan perempuan dari setitis air mani, yang menghidupkan semula makhluk yang mati, yang memberikan keperluan hidup kepada makluk ciptaanNya, yang mencipta “Bintang Syikra”, yang membinasakan kaum “Aad”, kaum Nabi Hud dan kaum “Thamud” dari kaum Nabi Soleh. Maka tidak ada seorangpun dari kaum tersebut itu yang dibiarkan hidup.

10. Kaum Nabi Nuh yang zalim dan melampau batas, sebelum itu telah juga dibinasakanNya dengan mengangkatnya ke angkasa dan menghempaskannya ke bumi bandar kediaman mereka.

11. Maka yang mana satu di antara nikmat Tuhanmu yang tidak terhingga itu engkau ragukan wahai manusia?

12. Al-Quran ini adalah pemberi amaran di antara jenis amaran yang telah lalu!

13. Telah hampir masa datangnya saat hari kiamat itu. Hanya Allah lah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara “hari kiamat” itu.

14. Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan Al-Quran dan mengingkarinya? Kamu tertawa mengejeknya dan tidak mahu menangis menyesali kesalahan kamu serta kamu tidak takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu? Kamu adalah sombong angkuh, lagi melalaikan kewajipan?

15. Sujudlah kamu kepada Allah yang telah menurunkan Al-Quran itu dan beribadatlah kamu kepadaNya dengan sepenuh tauhid.